Kanak - Kanak Perempuan Bonceng Motosikal Bersama Bapa Maut Nahas


Seorang kanak-kanak perempuan yang membonceng motosikal bapanya meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta berhampiran Bulatan Batu Pahat di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 11.51 pagi, mangsa, Nur Syafiah Munirah Zulnawarin, 7, cedera parah manakala bapanya, Zulnawarin Sarman, 49, yang menunggang motosikal turut cedera.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, Nur Syafiah kemudian dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di sini namun meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 1.45 petang.

"Bapanya pula masih berada di zon kuning Unit Kecemasan HEBHK. Kemalangan berlaku apabila kereta tersebut dipercayai dari arah bulatan dan menghala ke Jalan Besar manakala motosikal itu dari arah Jalan Besar menuju ke Jalan Tasik.

"Kereta itu dipercayai telah melanggar bahagian kanan motosikal dan mengakibatkan penunggang dan pemboncengnya terjatuh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan lanjut serta kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.