Dr Noorhisham Ramalkan Menjelang Hujung Oktober Jangkitkan Covid-19 Berisiko Cecah 1,300 Sehari


Angka jangkitan baharu COVID-19 berisiko mencecah hingga 1,300 kes sehari menjelang hujung bulan ini, sekiranya semua pihak gagal meningkatkan tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berdasarkan nilai R0 atau kebolehjangkitan semasa yang berada pada kadar 1.5, susulan peningkatan kes baharu wabak terbabit ketika ini.

Nilai R0 merujuk kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu bilangan individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Jika nilai R0 ialah 1.5, bermakna satu kes positif boleh menyebarkannya kepada antara satu hingga dua individu lain.

"Berdasarkan graf nilai R0 ketika ini yang masih berada pada unjuran 1.5, kes baharu boleh mencecah antara 1,200 hingga 1,300 sehari menjelang 31 Oktober depan.

"Ini perkara yang kita bimbangkan. Namun, adalah tidak mustahil untuk kita menurunkan nilai R0 itu jika ada kerjasama padu daripada semua pihak bersama Kementerian Kesihatan.

"Ketika gelombang kedua, nilai R0 mencecah 3.5 tetapi kita berjaya melandaikan lengkuk sehingga ia turun kepada 0.3.

"Oleh itu, tidak mustahil untuk kita menurunkannya sekali lagi," katanya pada sidang media COVID-19, hari ini.